rss
twitter
    IKUT SAYA DI LAMAN TWITTER

Isnin, 14 Februari 2011

Isu Pembuangan Bayi

Empat strategi tangani isu pembuangan bayi

PETALING JAYA 28 Mac — Empat strategi — advokasi, pencegahan, sokongan dan penyelidikan akan digunapakai bagi menangani isu pembuangan bayi yang dilaporkan berleluasa sejak kebelakangan ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua agensi yang terlibat bagi melaksanakan strategi itu dalam isu pembuangan bayi.

"Advokasi tentang institusi keluarga diperlukan untuk mengatasi pengabaian, penderaan dan pembuangan kanak-kanak dan perbuatan tersebut dianggap sudah bukan lagi budaya rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri “Karnival Utamakan Keluarga : Sehati, Sejiwa Untuk Keluarga” di sini, hari ini.

Katanya, strategi pencegahan juga perlu bagi memberikan kefahaman terhadap ilmu agama dan kesan terhadap seks bebas.

Beliau berkata, satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengetengahkan kurikulum kepada semua remaja perempuan terhadap hubungan intim dan kesannya secara ilmiah.

Shahrizat turut menasihati golongan muda supaya mendalami ilmu dan berpegang kepada ajaran agama supaya tidak terus hanyut dengan nafsu muda. - Bernama

SUMBER: ARKIB UTUSAN MALAYSIA (28/03/2010)



Celoteh-Ku:

Manusia telah dikurniakan akal fikiran untuk berfikir. Akan tetapi kerana ingin menjaga nama baik keluarga dan maruah diri telah menyebabkan ada segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab membuang zuriat mereka sendiri. Langkah-langkah yang dinyatakan ini merupakan salah satu langkah yang sangat sesuai untuk mengawal masalah pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Walau bagaimanapun, ingin saya memberitahu cara yang paling berkesan untuk mengurangkan masalah pembuangan bayi ini ialah melalui kempen pencegahan yang perlu dilakukan oleh kerajaan. Kebanyakan masalah-masalah pembuangan bayi ini bepunca daripada sikap para remaja yang inginkan keseronokan sehinggakan sanggup melakukan hubungan seks luar nikah. Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlulah memberikan pendidikan melalui kempen bagi memberikan kesedaran dan ilmu berguna kepada remaja agar tahu kesan-kesan buruk akibat melakukan seks luar nikah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan