rss
twitter
    IKUT SAYA DI LAMAN TWITTER

Isnin, 14 Februari 2011

Vandalisme

Vandalisme kian meruncing

KUANTAN 12 Julai - Perbuatan merosakkan harta benda awam dengan niat atau dikenali sebagai vandalisme kini semakin meruncing dan bagaikan tidak boleh dibendung lagi di sekitar bandar ini.

Antara contoh-contoh vandalisme yang terdapat di sekitar bandar ini adalah merosakkan telefon awam, tandas awam, peralatan permainan di taman rekreasi, menconteng dinding, membuang sampah merata-rata, curi kabel, curi besi (kepala paip, meter air, penutup longkang, pagar besi penghadang jalan) dan sebagainya.

Siapakah yang harus dipersalahkan apabila melihat 'hasil seni' pihak yang tidak bertanggungjawab berkenaan apabila hampir semua struktur binaan konkrit permainan kanak-kanak di kebanyakan taman permainan di sini rosak dan tercemar malah turut dijadikan sebagai bahan contengan.

Masalah sedemikian tidak harus dipandang ringan oleh pihak berkuasa dan masyarakat kerana tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penduduk di Kuantan mungkin boleh mengundang bencana.

Misalnya, apa yang berlaku di kebanyakan taman permainan kanak-kanak terutama di kawasan perumahan di sini, ia membuktikan tahap vandalisme semakin melampau apabila banyak struktur binaan konkrit permainan di situ dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab .

Tinjauan Utusan Malaysia di taman permainan di Lorong Sekilau 38 di sini, mendapati, sebahagian besar peralatan permainan yang disediakan tidak boleh digunakan lagi malah mampu menjadi ancaman berbahaya terhadap kanak-kanak yang menggunakannya.


Masalah tersebut tidak tertumpu di kawasan perumahan sahaja malah di kawasan riadah dan tempat rekreasi turut menjadi mangsa segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.

Seperti di Taman Gelora di sini kebanyakan peralatan senaman yang disediakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kini tidak boleh digunakan lagi.

Masalahnya, perkara tersebut bukannya sekali dua berlaku malah hampir setiap tiga bulan sekali.

Walaupun pelbagai aduan telah diajukan kepada MPK dan kerja-kerja penyelenggaraan peralatan senaman tersebut juga telah dilakukan, masalah berkenaan seolah-olah tiada jalan kesudahannya memandangkan perbuatan vandalisme terus-terusan berlaku.

Difahamkan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut dilakukan oleh sekumpulan golongan remaja yang suka menghabiskan masa melepak dan berkeliaran di kawasan tersebut pada waktu malam.

Jika diperhatikan, banyak peralatan senaman yang dirosakkan tidak boleh digunakan lagi selain ia turut mencacatkan pemandangan kawasan riadah dan rekreasi tersebut yang sering menjadi tumpuan orang ramai beriadah pada waktu petang dan hujung minggu.

Apa yang dibimbangkan sekiranya keadaan itu dibiarkan berterusan, ia boleh mengundangkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti mengancam keselamatan pengunjung atau pengguna berpunca daripada kegiatan vandalisme.

Pada masa sama, MPK pula terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan bagi mengembalikan keceriaan kawasan tersebut mahupun menyelenggara peralatan permainan di taman kanak-kanak di setiap kawasan perumahan di sini, agar ia sejajar dengan fungsi asal kewujudan taman selain mengelak taman tersebut dijadikan sarang gejala sosial dan maksiat.

Seorang penjawat awam, Azlina Abdul Karim, 31, berkata, isu tersebut bukannya baru menghantui masyarakat.

Dia bersetuju dengan pendapat bahawa perbuatan vandalisme tersebut seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.

''Mereka yang melakukan perbuatan ini adalah berkemungkinan terdiri daripada golongan yang sukakan kemusnahan atau memang hobinya merosakkan harta benda awam.

''Pantang melihat kemudahan yang disediakan untuk orang ramai, ada sahaja cara untuk memusnahkan harta benda awam itu, seolah-olah mereka seronok dan berasa hebat apabila dapat memusnahkannya," katanya.

Seorang kerani swasta, Nurul Hidayah Hasnuddin, 27, berkata, sikap tidak bertamadun seperti itu yang suka merosakkan harta awam tidak sepatutnya berlaku dalam negara ini yang penduduknya mengamalkan budaya ketimuran.

"Pemikiran kita seharusnya bertambah maju selaras dengan pesatnya kemajuan negara, bukannya bersifat mundur dengan gaya pemikiran seperti orang zaman batu.

"Janganlah menjadi seperti sesetengah negara Barat yang semakin pesat membangun tetapi kadar jenayahnya juga semakin meningkat," katanya.

Selain itu, Rosli Mohd. Deros, 49, turut berkata, strategi terbaik bagi mencegah gejala sosial dan vandalisme adalah dengan memperbetulkan sesuatu masalah ketika ia masih tidak serius malahan keadaan fizikal di sesuatu kawasan itu perlu dipulihkan segera bagi meminimumkan gejala itu.

"Sikap tegur-menegur dan ambil peduli di kalangan jiran juga perlu supaya tidak ada yang lepas tangan dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran.

"Jika ada yang ternampak individu tertentu melakukan vandalisme, tegur mereka secara berhemah atau adu segera kepada pihak berkuasa," katanya.

Seorang peniaga kedai makan, Mahani Mat Zin, 44, pula berkata, amalan gotong-royong dan bekerjasama membersih dan mengindahkan kemudahan awam mahu pun kawasan kejiranan perlu diperbanyakkan bagi membaiki keadaan akibat vandalisme.

"Selain itu, kita amat berharap agar orang ramai dapat dididik dengan lebih berkesan dalam menghargai setiap kemudahan yang disediakan, sejajar perjalanan masyarakat menuju status negara maju yang bermoral.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus mengambil langkah dalam membaiki setiap kerosakan dengan segera di samping memastikan ia tidak berulang.

''Keadaan tersebut bukan sahaja menyakitkan mata jika dibiarkan, malah amat memalukan jika dilihat oleh pelancong asing yang begitu ramai melancong di bandar Kuantan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPK, Haslinda Hassan berkata, MPK terpaksa membelanjakan kira-kira hampir RM1 juta setahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan harta benda awam yang rosak akibat perbuatan vandalisme tersebut.

"Keadaan ini menyebabkan MPK menanggung kerugian dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membaiki infrastruktur yang telah dirosakkan itu," ujarnya.

Bukan itu sahaja, katanya, MPK juga terpaksa berdepan dengan masalah kecurian besi dan papan tanda di kawasan perumahan selain pihak tidak bertanggungjawab menampal pelekat sehingga mencemarkan keadaan persekitaran khususnya kawasan tumpuan pelancong.

SUMBER: ARKIB UTUSAN MALAYSIA (13/07/2010)


Celoteh-Ku:

Vandalisme ini walaupun tampak isu yang biasa ianya telah banyak merugikan kerajaan sehingga puluhan juta ringgit. Walaupun pelbagai langkah dan kempen yang telah dilakukan, masalah vandalisme ini masih tidak dapat dielakkan daripada berlaku. Kempen sahaja tidak memadai untuk mengurangkan gejala ini kecuali jika langkah pencegahan dilakukan dari akar umbi iaitu pemupukan nilai-nilai menyayangi harta benda awam tidak dilakukan di sekolah. Oleh yang demikian, guru-guru di sekolah baik guru-guru pendidikan moral dan juga guru-guru pendidikan Islam perlulah peka dalam mendidik anak-anak murid mereka tentang menyayangi harta benda awam. Bak kata Pepatah: Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur baru kita hendak melenting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan