rss
twitter
    IKUT SAYA DI LAMAN TWITTER

Isnin, 14 Februari 2011

Bunuh Diri

Bunuh diri : pelajar terpinggir dan terasing

Oleh Rohana Man

KES bunuh diri dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini memanglah tidak serius kerana jumlah yang melakukannya amat sedikit.

Sungguhpun begitu, pelbagai pihak perlu mengambil usaha untuk menyelamatkan pelajar bermasalah daripada membunuh diri.

Kajian yang dilakukan oleh pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Zuria Mahmud mendapati hanya beberapa kes pelajar bunuh diri dilaporkan berlaku di tiga tempat yang dikajinya iaitu Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdapat pelajar yang membunuh diri dilihat tidak mempunyai masalah dan apabila ia berlaku, semua pihak termasuk ibu bapa dan pihak sekolah tidak menyangka perkara itu boleh berlaku.

``Ada kaunselor sekolah berkata kepada saya bahawa dia tidak menyangka seorang pelajarnya membunuh diri.


``Ayat terakhir yang ditinggalkan oleh pelajar ini ialah `semua orang tidak memahami saya','' katanya

ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kajian Strategi Dalam Menangani Tingkah Laku Bermasalah Pelajar di Sekolah Menengah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, baru-baru ini.

Pensyarah lain yang turut menjalankan kajian yang sama ialah Profesor Datin Dr. Amla Mohd Salleh dan Dr. Noriah Mohd Ishak. Kajian yang dibentangkan itu dibiayai oleh skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) dan melibatkan temu bual dengan 33 kaunselor dari Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor.

Data yang diperoleh kemudian diproses secara kualitatif dan kajian yang bermula pada bulan September 2003 itu masih diteruskan sehingga hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian yang dilakukannya mendapati pelajar bermasalah yang cenderung membunuh diri terdiri daripada mereka yang mempunyai tingkah laku terpinggir.

Menurutnya, tingkah laku itu menyebabkan pelajar berasa terasing kerana tidak mempunyai kumpulan sendiri di sekolah.


Katanya, pelajar terlibat akan berasa dirinya tidak diterima di sekolah sekali gus menyebabkannya tidak mempunyai rakan.

Tambahnya, tingkah laku pelajar terpinggir akan menjadi lebih buruk apabila berasa diri mereka juga tidak dipedulikan oleh keluarga.

Pelajar yang berasa terpinggir di sekolah pula biasanya akan menjadi mangsa buli di sekolah atau asrama.

Ini berlaku kerana pelajar berkenaan dilihat bersendirian tanpa mempunyai kumpulan sendiri.

``Pelajar berkenaan sebenarnya tidak mampu `membina' kumpulannya sendiri dan akhirnya akan menjadi mangsa buli.

``Ini antara punca pelajar berasa terpinggir dan kesan buruknya ialah ia boleh mengakibatkan pelajar membunuh diri,'' katanya.

Selain itu, katanya, kajian beliau juga mendapati pergaulan dan seks bebas pelajar bukan sahaja berlaku di antara pelajar perempuan dan lelaki, sebaliknya melibatkan pelajar lelaki dan lelaki (homoseksual) serta perempuan dan perempuan (lesbian).

Hasil kajian beliau mendapati ibu bapa gagal mengesan perubahan tingkah laku anak-anak di peringkat awal.

``Hanya apabila anak gadis hamil atau anak perempuan memilih untuk menjadi berlagak seperti lelaki atau sebaliknya, barulah ibu bapa sedar masalah yang dihadapi oleh anak masing-masing,'' katanya.

Beliau menjelaskan, masalah kecelaruan gender dalam kalangan pelajar sukar dikesan pada peringkat awal kerana ibu bapa tidak mengesyaki apa-apa jika melihat anak lelaki atau perempuan mereka tidur sebilik dengan rakan sama jantina.

Kajian beliau turut menyentuh perkara berkaitan masalah dadah, rokok, laku musnah, menonton video dan melihat gambar lucah serta kurang motivasi dalam kalangan pelajar.

Mengulas pelajar kurang motivasi, beliau berkata, pelajar menjadi begitu kerana tidak meminati bidang ilmu atau akademik.

Pelajar itu katanya perlu dibantu dengan menggalakkannya mengambil bidang yang diminati seperti dalam bidang teknikal, sukan atau muzik.

Mengenai faktor penyumbang masalah itu, Dr. Zuria berkata, antara yang paling jelas ialah masalah keluarga yang tidak stabil dan pengaruh rakan sebaya terutama jika rakan sebaya itu sudah berhenti sekolah.

Justeru apakah penyelesaian masalah itu? Menurutnya, antara strategi yang boleh dilakukan ialah

mendekati pelajar tanpa mengira waktu sama ada ketika di kelas, waktu rehat atau pelajar berada di rumah.

Menerusi pendekatan itu, katanya, pelajar bermasalah akan berasa diri mereka dihargai, disayangi dan diperlukan sekali gus mengurangkan kecenderungan mereka untuk terus terlibat dalam masalah sosial.

``Sebenarnya, pelajar bermasalah memerlukan sokongan semua pihak dan berilah peluang kepada mereka untuk bercerita dan meluahkan apa yang terbuku di hati,'' katanya.

Kajian beliau mendapati pelajar lebih suka bercerita mengenai masalah masing-masing kepada kaunselor berbanding ibu bapa.

Ini kerana katanya, ibu bapa kerap memotong cakap anak-anak yang baru mahu berkongsi cerita (masalah) dengan ibu bapa.

``Baru nak cerita, dah kena marah. Ini yang pelajar tidak suka. Sepatutnya ibu bapa sedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak,'' ujarnya.

Mengenai usaha kolaborasi dalam menangani masalah sosial pelajar, Dr. Zuria berkata, kaunselor perlu mempunyai hubungan baik dan kerjasama dengan guru, pentadbir sekolah, persatuan ibu bapa dan guru, polis, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak hospital.

Pemantauan berterusan boleh dilakukan oleh semua pihak berkenaan termasuk melaporkan segera kes-kes pelajar bermasalah kepada pihak berkaitan.

``Ketua-ketua agama juga perlu memainkan peranan untuk membawa kembali pelajar bermasalah ke pangkal jalan menerusi pendekatan agama masing-masing,'' katanya.

SUMBER: www.Tutor.com.my


Celoteh-Ku:

Masalah pelajar membunuh diri tidaklah begitu ketara berlaku tetapi ianya merupakan salah satu isu moral yg perlu diambil kira oleh masyarakat. Kebiasaan berlakunya masalah bunuh diri dalam kalangan pelajar ini disebabkan oleh keruntuhan institusi kekeluargaan pelajar tersebut. Disebabkan tidak tahan dengan masalah tersebut kebanyakan pelajar mengambil jalan mudah dengan membunuh diri. Pelajar yang membunuh diri itu juga mungkin merasakan dengan cara tersebut juga dapat membalas dendam dan memberi kesedaran kepada ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, jelas sekali untuk menangani masalah pelajar membunuh diri ini, pihak sekolah khususnya guru-guru perlulah peka dengan perubahan yang berlaku terhadap murid-murid mereka. Sesi kaunseling juga boleh dilakukan untuk mengelakkan murid-murid ini melakukan tindakan yang diluar sangkaan kita iaitu membunuh diri.

1 ulasan:

  1. saya setuju sangat dengan hal ni, memang kes ni tak begitu kritikal tapi seperti pengalaman-pengalaman lecturer saya time berhadapan dengan kes pelajar bunuh diri kat sekolah lama beliau, selalunya sebab parent tak ambil peduli perasaan remaja

    BalasPadam